Selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dimuktamadkan semalam, majlis pelantikan dan angkat sumpah Menteri Besar Kedah kini dijadualkan berlangsung di Istana Anak Bukit, di sini, pagi ini.
Bagaimanapun, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Mahfuz Omar tidak pasti akan dijemput ke majlis angkat sumpah atau tidak ekoran tiada satu kerusi dimenangi Parti Amanah, PKR dan UMNO semasa PRN Kedah yang berakhir semalam.
Berdasarkan surat jemputan media yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah hari ini, majlis itu dijadual diadakan di Balai Mengadap Besar, Istana Anak Bukit, di sini kira-kira pukul 9 pagi, menurut laporan Bernama.
Majlis angkat sumpah di hadapan Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah itu turut akan dihadiri Setiausaha Kerajaan Kedah Datuk Norizan Khazali.
Pada PRN semalam, Perikatan Nasional (PN) berjaya memperoleh kemenangan besar iaitu 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengerusi PN Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri ketika ini bertindak sebagai Menteri Besar Kedah sementara, sehingga Menteri Besar baharu dilantik dan mengangkat sumpah.
-Agenda Daily
No comments:
Post a Comment