Kota Bharu: Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberi bayangan Menteri Besar (MB) Kelantan yang baharu dan timbalannya bukan daripada gandingan teknokrat-agamawan.
Bagaimanapun, katanya, pemimpin dipilih semestinya berpengalaman dan merupakan seorang daripada Exco sebelum ini.
"Gabungan Menteri Besar dan Timbalan sebagaimana yang saya katakan sebelum ini iaitu seorang teknokrat dan agamawan tetapi yang baharu ini tidak membabitkan gabungan (gandingan) itu.
"Jadi terpulang kepada Sultan Kelantan (Sultan Muhammad V) memilih calon MB yang mana selepas senarai nama dipersembah oleh Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Ahmad Yakob," katanya.
Kenyataan Ahli Parlimen Kota Bharu itu turut memberi gambaran nama Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah tidak tersenarai dalam calon yang akan dipersembah kepada Sultan Kelantan, hari ini.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, soal calon MB dan barisan Exco juga sudah dianggap selesai.
"Malam ini (tadi) PAS Pusat mengadakan mesyuarat dengan pimpinan tertinggi PAS Kelantan untuk membincangkan pelantikan MB, timbalan serta barisan Exco.
"Di pihak parti, parti hanya akan mengangkat nama yang dirasakan sesuai untuk Tuanku lantik dan senarai nama berkenaan akan dipersembah esok (hari ini).
"Proses pemilihan berjalan lancar dan mendapat persetujuan pimpinan parti," katanya.
Terdahulu, Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Ahmad Yakob memaklumkan beberapa senarai nama calon MB yang baharu sudah ada dan akan dipersembahkan kepada Sultan Kelantan hari ini.
Malah, majlis angkat sumpah MB akan diadakan pada 3 petang esok.
-myMetro
No comments:
Post a Comment