JOHOR BAHRU: Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor akan menyerahkan senarai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram kepada pimpinan pusat esok.
Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan, berkata pihaknya sudah menyenarai-pendek nama calon terbaik bagi bertanding di dua kerusi berkenaan pada 9 September nanti.
Katanya, AMANAH juga sedang giat melakukan persiapan rapi termasuk akan bertemu dengan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin Jumaat ini, bagi mengerakkan jentera Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) negeri.
"Pimpinan AMANAH pusat akan membuat penilaian bagi menentukan calon di dua kerusi berkenaan, selepas kita menyerahkan senarai nama calon esok.
"Pimpinan pusat mempunyai penilaian tersendiri, malah boleh sahaja meneliti nama lain bagi bertanding di dua kerusi berkenaan.
"Namun, AMANAH perlu lebih teliti dan berhati-hati dalam menentukan calon di dua kerusi berkenaan kita mahukan hanya calon terbaik bertanding, bagi menarik perhatian pengundi di negeri ini yang agak berbeza dengan negeri lain," katanya ketika dihubungi.
Ditanya sama ada AMANAH Johor risau dengan peningkatan sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) seperti dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) berakhir kelmarin, Aminolhuda yang juga Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor berkata, pihaknya turut menjangka peningkatan sokongan terhadap PN di negeri ini akan turut berlaku.
Katanya, peningkatan PN sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang konsisten sehingga membawa ke enam PRN tidak boleh diambil ringan.
"Sangat penting bagi parti menurunkan calon terbaik dan tepat bagi menarik perhatian pengundi di Johor.
"Johor ini unik dan berbeza kerana pengundi bukan sahaja tidak gemar kepada cara kempen yang agresif dan kenterlaluan, malah lebih suka kepada kesederhanaan dan tidak berlebih-lebihan.
"Kita akan memastikan kempen dan pendekatan menarik undi jentera PH-BN nanti lebih sederhana, tidak melakukan provokasi, selain tidak melukakan mana-mana pihak termasuk lawan," katanya.
-BH Online
No comments:
Post a Comment