Bekas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan parti lamanya itu kini tidak lagi memiliki pemimpin untuk menuntun perjuangan asal mereka.
Menurut Muhyiddin, tiada seorang pun wakil rakyat UMNO yang berani menentang Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang jelas melanggar Perlembagaan parti.
“Tapi masalahnya dalam UMNO ini dah tak ada pemimpin, pengikut saja. Kalau saya masih kekal dalam UMNO, saya mesti mencari jalan untuk menumbangkan Zahid kerana Zahid telah melanggar Perlembagaan UMNO yang telah membawa musibah, bencana kepada UMNO.
“Tapi sampai hari ini tak nampak apa pun. Sudah sampai masa kita lupakan UMNO, tak payah nak mendengar apa yang disebut pemimpin-pemimpin mereka yang juga duduk dalam kerajaan tapi tak buat apa-apa.
“(Saya) agak hati mereka ini kecewa…nak buat apa tengok Presiden ‘berpeluk-peluk dengan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, (Tan Sri) Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, DAP…,” katanya ketika berucap pada Santai Petang bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin di Seberang Takir, Kuala Terengganu, hari ini.
Beliau menyeru agar kepimpinan di Terengganu dikekalkan di bawah pentadbiran PAS, komponen Perikatan Nasional (PN).
“Waktu UMNO dulu, dia berjuang bangsa, agama, negara. Saya sokong perjuangan itu. Macam PAS juga cuma pendekatan PAS berbeza sedikit dengan UMNO, tak apa.
“Macam di sini (Terengganu) silih berganti. Kadang-kadang PAS menang, kadang-kadang UMNO menang. Itu dulu. Jangan sekarang ini, jangan buat begitu. Yang PAS menang (ini) kekalkan sampai bila-bila,” katanya.
Dalam ucapan sama, beliau mengimbau kenyataan Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng yang cuba memomok-momokkan bukan Islam di Pulau Pinang dengan menyatakan gelombang hijau akan merobohkan kuil dan menyekat mereka untuk beragama sekiranya negeri itu ditadbir PN.
“Islam agama yang adil untuk semua tapi dia pusing begitu untuk menakut-nakutkan (rakyat). Mana ada gelombang hijau. Ini gelombang rakyat untuk menyuarakan kebangkitan rakyat untuk menentang kezaliman, salah guna kuasa, tiada agenda dilakukan kerajaan PH-BN pada hari ini,” katanya.
-Agenda Daily
No comments:
Post a Comment