PERTAMA, membawa perjuangan The Greater Kedah merentasi kepentingan politik.
The Greater Kedah adalah pemangkin bagi mengembalikan rasa jati diri sebagai seorang rakyat di Negeri Kedah.
Kedua, memperkemaskan tadbir urus kewangan demi pembangunan ekonomi negeri.
Kedah telah mendapat pengiktirafan Sijil Penyata Kewangan Bersih berakhir 31 Disember 2021 daripada Ketua Audit Negara.
Malah, urus tadbir kewangan agensi seperti Syarikat Air Darul Aman (SADA) berjaya dipulihkan dengan nilai keuntungan berlipat kali ganda pada tahun pertama beliau menjadi Menteri Besar.
Ketiga, menarik sebanyak mungkin pelaburan ke Kedah.
Siapa sangka sebuah negeri pertanian di Utara Semenanjung ini menjadi tumpuan pemain-pemain industri terkemuka dunia untuk datang melabur pada era pasca pandemik ini.
Pelaburan tertinggi dicapai pada tahun 2021 adalah RM86.3 bilion dan keseluruhan pelaburan sepanjang tempoh YAB Sanusi mentadbir adalah RM91.4 bilion.
Dengan itu puluhan ribu peluang pekerjaan bakal tersedia kepada rakyat Negeri Kedah.
Keempat, mengutamakan kebajikan dan menyelesaikan pelbagai isu-isu dan permasalahan rakyat.
Antaranya adalah pemberian geran dan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) kepada lebih 7,233 penduduk di negeri ini.
Geran ini telah tertunggak sejak lebih 30 tahun, ada dalam kalangan mereka sudah pergi menemui ajal dan kini memasuki generasi kedua dan ketiga.
Kesemua ini berjaya diselesaikan dalam tempoh yang singkat.
Begitu juga bantuan-bantuan yang lain termasuklah memperkenalkan semula Tabung Tunku Mahmud demi pembelajaran anak-anak Kedah yang memerlukan.
Kelima, penerusan projek-projek penting demi masa depan rakyat dan negeri.
Projek penaiktarafan lima Loji Rawatan Air (LRA) di seluruh Negeri Kedah selain projek holistik pengurangan kadar air tidak berhasil (NRW) membuktikan keprihatinan kerajaan untuk menyelesaikan permasalahan air yang berlanjutan sejak sekian lama.
Tambahan lagi, pembangunan projek-projek mega yang lain seperti Kedah Aerotropolis yang mempunyai nilai yang besar kepada prospek kemajuan negeri pada masa akan datang.
Insya-Allah, kita telah tunaikan tanggungjawab ini sebagai sebuah kerajaan.
Tidak perlu ambil jalan terdesak merasuah pengundi dengan pelbagai gula-gula dan janji manis, kerana kami telah membuktikannya terlebih dahulu sebelum kami memperkatakan mengenainya.
Mari bersama kita bergandingan tangan untuk mengekalkan kepimpinan YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor.
DATO’ HAJI AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah – HARAKAHDAILY 8/8/2023
No comments:
Post a Comment