Kerajaan campuran dibidas kerana mengamalkan budaya politik tidak matang dan berat sebelah dengan menjadikan pemimpin yang tidak sehaluan sebagai sasaran, kata Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Ahli Parlimen Marang itu mempertikaikan tindakan kerajaan campuran yang tidak memberi peruntukan kepada Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) sebaliknya sanggup membebaskan kawannya yang terpalit dengan kes rasuah, merujuk kepada 47 kes rasuah dihadapi Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.
“Melakukan kezaliman terhadap rakyat. Hanya rakyat yang sokong dia saja diberi, dia tolong. Rakyat yang tak sokong dia, tak ditolong. Dia bertindak terhadap orang yang menentang dia. Kalau menentang dia, geledah ofis (pejabat), geledah rumah.
“Dia ada kes, kalau yang kawan sebelah terlalu dekat. Macam-macam DNAA (membebaskan tanpa melepaskan) yang dah kena hukuman diampunkan, dibebaskan. Mungkin DNA dia sama. Kepada pembangkang tak diperuntukkan kepada yang menyokong dia beri peruntukan,” katanya semasa perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.
Untuk rekod, 47 kes rasuah dihadapi Zahid dihentikan perbicaraannya selepas Peguam Negara tidak mahu meneruskan prosiding.
Cikgunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mempertahankan keputusan DNAA yang dibuat terhadap anak muridnya sebelum ini.
Dalam pada itu, Hadi yang juga Presiden PAS memberi peringatan penting kepada pihak kerajaan terhadap perlakuan zalim dalam menguruskan bajet ke atas negara dan rakyat.
Peringatnya, Allah tidak mengasihi orang yang melampau, gelojoh dan takbur sedarkan ia diberi harta melimpah ruah hingga kunci-kunci gedung simpanan harta dipikul oleh kalangan orang-orang gagah perkasa.
Sebaliknya tegas beliau kurniaan Allah itu mesti digunakan untuk kebajikan secara rahmah dan adil bagi kehidupan di dunia dan akhirat, sekali gus menjauhi kejahatan dengan mengumpul kekayaan untuk diri secara jalan yang salah.
“Dikumpulkan harta dengan cara yang salah, membelanjakan dengan cara yang salah. Dikumpulkan harta melalui melalui penipuan, melalui hasil-hasil rasuah terhadap orang-orang yang memerintah.
“Dalam masa yang sama melakukan kezaliman, terhadap rakyat menyebabkan harga-harga keperluan rakyat dikuasai kartel. Macam sekarang ni kartel beras, kartel daging, kartel macam-macam.
“Menyebabkan berlakunya inflasi, yang membebankan rakyat. Orang yang macam Qarun ni masih ramai. Dan kerajaan masih bertindak terhadap mereka ini. Jangan takut. Ataupun kerajaan rasa malu kerana dia jadi penyumbang kepada kerajaan,” ujarnya.
Hujah beliau itu disandarkan daripada ayat 77 surah al-Qasas yang terlebih dahulu menjadi butiran utama dalam pembentangan Belanjawan 2024 oleh Anwar pada minggu lalu.
Peringat beliau, Allah SWT telahpun melaknat pemerintah di masa lalu yang menggunakan kuasanya dan keupayaannya untuk menipu rakyat dan hanya membantu kalangan puaknya sahaja di sebalik kekayaan dikurniakan.
Menurut beliau, kaum Aad, Tsamud dan Firaun berkuasa dengan dikurniakan tamadun hebat serta bangunan-bangunan tinggi dan kekayaan melimpah ruah, tetapi melakukan kejahatan dengan semua dimiliki itu.
-Agenda Daily
No comments:
Post a Comment