Pada pengumuman Belanjawan 2024 tempohari menyatakan terdapat insentif untuk motosikal elektrik sebanyak RM 2400.
Nampaknya arena motosikal elektrik tempatan akan menjadi lebih popular dengan kehadiran pengeluar ternama dari Indonesia iaitu United E-Motors yang bekerjasama dengan Artroniq bagi menawarkan dua skuter elektrik mereka iaitu TX3000 dan TX1800.
Kedua-dua model ini tampak mirip antara saru sama lain, dengan perbezaan untuk bilangan bateri, kekuatan enjin, saiz tayar, jarak perjalanan dan juga kelajuan maksimum.
TX 1800 merupakan skuter elektrik dengan kelajuan maksimum 75 km/j dengan motor 60V 2000W dan tork maksimum 106Nm pada 100 rpm. Ia boleh memecut 0-100km/j dalam tempoh 10.2 saat serta mempunyai jarak perjalanan sekitar 65km.
Ini kerana skuter elektrik ini hanya mempunyai satu bateri sahaja yang boleh dicaj 0-80% selama 1 jam setengah.
Model TX 3000 pula dilengkapi dengan dua bateri yang boleh dicaj 0-80% selama 4 jam, dengan jarak perjalanan sekitar 120km.
Skuter ini boleh mencapai kelajuan maksimum 90 km/j dari enjin 60W yang menjana kuasa maksima 4200W dan tork maksimum 145 Nm pada 125 rpm .
Dengan enjin yang lebih berkuasa ini, TX 3000 dapat memecut 0-100 km/j sepantas 8.85 saat.
Selain dari itu, kedua-dua skuter elektrik ini juga mempunyai pembesar suara untuk fungsi tambatan Bluetooth dan menggunakan Radio, serta memilih ‘bunyi’ motor pada mod perlumbaan (Racer Sound Mode).
Dengan enjin elektrik, skuter ini mempunyai fungsi mengundur selaju 5 km/j dan terdapat mod baikpulih pada kelajuan 30 km/j.
Menerusi tambatan Bluetooth dengan aplikasi U-Key, pengguna juga boleh menggunakan butang kecemasan SOS, mengetahui status skuter dan lokasi parkir, dan boleh menghidupkan skuter terus dari aplikasi
Skuter elektrik TX 1800 ditawarkan dalam 6 warna iaitu hitam, kelabu, merah, kuning, putih serta biru.
Manakala skuter elektrik TX 3000 ditawarkan dalam 5 warna iaitu hitam, kelabu, merah, kuning dan juga putih. Untuk promosi awal, setiap tempahan juga akan menerima topi keledar Artroniq dengan 1 tahun jaminan motor elektrik, 1 tahun penyelenggaran percuma, dan 3 tahun jaminan bateri.
Buat masa ini, harga kedua-dua model ini hanya akan diumumkan pada 24 Disember nanti, termasuklah sekiranya terdapat sebarang pelan langganan bateri, namun mereka menyatakan sasaran sebanyak 2000 unit untuk dijual dan juga pelan kerjasama dengan kedai-kedai 24 jam atau kawasan perumahan yang boleh menyediakan kemudahan penukaran bateri.
Bagi anda yang berminat untuk pandu uji skuter anda boleh mendaftar di halaman Facebook mereka.
-amanz.my
No comments:
Post a Comment