Injunksi itu menghalang bekas perdana menteri melupuskan asetnya sehingga nilai RM42 juta sementara menunggu saman sivil selesai.
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib Razak untuk mengetepikan injunksi Mareva yang menghalangnya daripada memindahkan atau melupuskan aset bernilai RM42 juta dalam kes saman SRC International Sdn Bhd terhadapnya.
Injunksi Mareva menghalang defendan daripada melupuskan aset sementara menunggu saman sivil selesai.
Hakim Nallini Pathmanathan yang mengetuai panel tiga hakim berkata, Najib gagal memenuhi syarat undang-undang yang mewajibkan mahkamah tertinggi mendengar rayuannya untuk mengetepikan injunksi tersebut.
Hakim lain yang bersidang adalah Nordin Hassan dan Abu Bakar Jais.
Mahkamah turut memerintahkan Najib membayar kos sebanyak RM30,000.
Najib diwakili peguam Shafee Abdullah manakala Lim Chee Wee mewakili SRC International.
SRC International dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd, memfailkan saman terhadap Najib tahun lalu, mendakwa dia pecah amanah, menyalahgunakan kuasanya, mendapat manfaat secara peribadi daripada dana SRC International dan menyalahgunakan dana tersebut.
Syarikat tersebut memperoleh injunksi Mareva di Mahkamah Tinggi pada 2022, yang turut disahkan Mahkamah Rayuan.
Mengikut terma injunksi itu, Najib tidak boleh mengeluarkan, melupuskan, berurusan atau mengurangkan asetnya di dalam dan di luar Malaysia sehingga nilai RM42 juta, sementara menunggu penentuan muktamad saman itu.
Bagaimanapun, dia boleh mengeluarkan sehingga RM100,000 sebulan daripada akaun banknya untuk perbelanjaan hidup dan bayaran yuran guaman.
Bekas perdana menteri itu kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitan atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram berhubung kes SRC International.-FMT
No comments:
Post a Comment