KANGAR: Perlis turut menjadi pilihan khususnya penjawat awam dari luar bagi menghabiskan sisa perkhidmatan dan ada menetap di negeri ini selepas bersara.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, mereka menghabiskan perkhidmatan menjelang bersara dan ada yang terus kekal di Perlis.
Katanya ketenangan dan suasana yang aman di Perlis menjadi antara faktor mereka memilih menetap di negeri terbabit.
“Berdasar perkembangan itu menjelang tahun 2030 Perlis bakal merekodkan jumlah warga emas berusia 60 tahun ke atas melebihi 15 peratus.
“Berikutan itu kerajaan negeri dan agensi-agensi berkaitan memberi perhatian terhadap nasib warga emas,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak, Warga Emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) Peringkat negeri ei Mes Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, semalam.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Bantuan Bencana negeri, Wan Badariah Wan Saad dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Ku Chik Ku Mat Esa.
Seramai 28 individu menerima anugerah khas sempena sambutan tersebut yang melibatkan 13 kategori.
Mohd Shukri juga berkata, kadar 15 peratus penduduk terdiri daripada warga emas menjelang 2030 menunjukkan rakyat Perlis sihat dan panjang umur.
Oleh itu menurutnya kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap nasib mereka melibatkan agensi negeri termasuk Baitulmal, JKM dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Terdapat banyak bentuk bantuan disediakan bagi membantu warga emas terutamanya kategori B40 untuk membolehkan mereka meneruskan kelangsungan hidup dalam suasana lebih baik,” ujarnya.
Sementara itu Ku Chik berkata, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) ditubuhkan di tiga kawasan Parlimen Perlis merupakan usaha kerajaan menggelakkan warga emas hidup keseorangan sekiranya anak-anak merantau bekerja di luar.
Kata beliau sekiranya warga emas terlibat mempunyai kemahiran tertentu, mereka boleh melakukan perkongsian bersama rakan-rakan lain di PAWE.
“Ini merupakan komitmen kerajaan bagi memastikan warga emas dapat berdikari, bermartabat diri dan dihormati dengan mengoptimumkan potensi diri melalui penuaan sihat, positif serta produktif,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/10/2023
No comments:
Post a Comment