KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mengutuk keras tindakan Kerajaan Madani yang berterusan menyalahgunakan kuasa bagi melakukan intimidasi serta ugutan terhadap pemimpin pembangkang.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, adalah dipercayai bahawa intimidasi dan ugutan inilah yang digunakan ke atas Ahli Parlimen Kuala Kangsar bagi mendapat sokongan agar kerajaan Madani kembali memperoleh sokongan dua pertiga majoriti di Parlimen.
“Pada 1 Oktober 2023, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dibawa untuk bertemu dengan seorang pegawai tertinggi SPRM di sebuah hotel di Damansara dan diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah sekiranya enggan menandatangani kenyataan media yang telah pun disediakan lebih awal untuk menyokong kerajaan.
“Sebelum itu, pada 26 September 2023, Ahli Parlimen Kuala Kangsar juga telah didatangi seorang taikun perniagaan bergelar Tan Sri yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri di sebuah lokasi sekitar Damansara.
“Beliau telah ditekan dan didesak untuk menyokong Perdana Menteri serta dijanjikan habuan wang ringgit dan kedudukan dalam beberapa syarikat,” kata Hamzah dalam kenyataan pada Jumaat.
Ketua Pembangkang itu berkata, dalam pertemuan bersama Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen Kuala Kangsar juga kelihatan amat tertekan akibat intimidasi yang dikenakan terhadap beliau.
Ujar Hamzah lagi, PN pada masa yang sama kesal di atas kenyataan media yang dibuat secara terburu-buru oleh Ahli Parlimen Kuala Kangsar.
“Kenyataan beliau dengan menggunakan hujah peruntukan pembangunan sebagai alasan amat berbeda dengan penjelasan yang diberikan kepada beberapa pemimpin parti.
“PN mendesak Kerajaan Madani menghentikan tindakan salah guna kuasa dan intimidasi terhadap semua ahli Parlimen.
“Amalan seperti ini amat bertentangan dengan prinsip demokrasi yang diamalkan dalam sebuah negara yang menjunjung tinggi keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang,” katanya.
Tegas Hamzah, PN mengambil maklum ketetapan Mesyuarat Biro Politik Bersatu untuk memanggil Ahli Parlimen Kuala Kangsar untuk mendapatkan penjelasan sebelum mengambil tindakan selanjutnya.
Ahli Parlimen Kuala Kangsar daripada Perikatan Nasional (PN), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid memutuskan untuk menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mulai semalam.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.
“Saya percaya ekonomi negara perlu ditingkatkan demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat. Oleh yang demikian, saya menyokong YAB Perdana Menteri atas apa-apa usaha yang dilakukan untuk mengukuhkan ekonomi negara,” menurutnya dalam kenyataan semalam.
Bagaimanapun, Iskandar Dzulkarnain berkata, beliau tidak akan meninggalkan atau mengkhianati Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam apa jua keadaan atas prinsip taat dan setia kepada parti.
-suara.tv
No comments:
Post a Comment