KUALA LUMPUR: Isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R) dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh [PN-Besut] meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan hasil siasatan dan pendakwaan bagi kesalahan berkaitan dengan 3R iaitu ucapan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang mendakwa gelombang hijau bakal memusnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang di dalam satu program di Pulau Pinang.
Beliau juga bertanya perkara yang sama terhadap ucapan Tan Sri Lim Kit Siang, pemimpin veteran DAP yang menyatakan negara semakin hampir-hampir ke arah tepian sebuah lagi rusuhan 13 Mei 1969.
Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin [PN-Pagoh] turut meminta menteri yang sama menyatakan apakah pendirian Kerajaan khususnya berhubung isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R) serta apakah asas perundangan yang diguna pakai untuk melarang rakyat Malaysia daripada menyentuh perkara 3R tersebut.
Berikut ialah senarai soalan daripada ahli-ahli parlimen PERIKATAN NASIONAL pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, hari ini.
Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Mohd. Yassin [Pagoh] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah pendirian Kerajaan khususnya berhubung isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R) serta apakah asas perundangan yang diguna pakai untuk melarang rakyat Malaysia daripada menyentuh perkara 3R tersebut.
Tuan Kalam bin Salan [Sabak Bernam] minta Menteri Kewangan menyatakan adakah Kerajaan bercadang untuk meningkatkan pelaburan tempatan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada 70% berbanding 64% pada tahun 2022 yang disyorkan oleh Perdana Menteri pada bulan Mei lalu. Jika ya, bagaimanakah ia dapat dilaksanakan.
Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor [Temerloh] minta Menteri Pengangkutan menyatakan:
(a) asas kriteria dalam memilih seorang Pengerusi Lembaga Pelabuhan dan sejauh manakah peranan mereka dalam membenteras kegiatan ekonomi gelap seperti penyeludupan di pelabuhan; dan
(b) berapa bilangan operasi kegiatan membenteras ekonomi gelap yang berjaya dijalankan sepanjang tahun 2019 sehingga 2023.
Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin [Jerantut] minta Menteri Kewangan menyatakan apakah syarat yang perlu dipenuhi sekiranya pemasangan Mesin Pengeluaran Wang Automatik (ATM) hendak dilakukan di Batu Balai, FELDA Lepar, Kampung Mat Daling, Kuala Tahan yang terletak jauh dari Bandar Jerantut dan mempunyai penduduk yang padat.
Kapten Azahari bin Hasan [Padang Rengas] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat menyatakan langkah yang perlu diambil bagi membantu meningkatkan kualiti hidup warga emas dan adakah pihak Kementerian bercadang untuk menambah baik kriteria pemberian bantuan warga emas agar dapat dinikmati golongan sasar.
Tuan Jamaludin bin Yahya [Pasir Salak] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan statistik pencerobohan terkini bot nelayan asing yang menceroboh ke dalam perairan Malaysia seterusnya mengaut sumber hasil perikanan negara secara haram.
Tuan Zahari bin Kechik [Jeli] minta Menteri Pengangkutan menyatakan sejauh mana usaha Kerajaan di dalam menjadikan Tok Bali sebagai sebuah pelabuhan dan pengkalan persisir dalam sektor minyak dan gas terutamanya untuk wilayah timur Semenanjung.
Tuan Haji Kamal bin Ashaari [Kuala Krau] minta Menteri Pendidikan menyatakan adakah Kementerian bercadang untuk membuka jawatan tetap warden daripada bukan guru supaya bebanan guru boleh dikurangkan.
Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh [Besut] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan hasil siasatan dan pendakwaan bagi kesalahan berkaitan dengan 3R iaitu:
(a) ucapan YB Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Bagan, yang mendakwa gelombang hijau bakal memusnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang di dalam satu program di Pulau Pinang; dan
(b) ucapan Tan Sri Lim Kit Siang, pemimpin veteran DAP yang menyatakan negara semakin hampir-hampir ke arah tepian sebuah lagi rusuhan 13 Mei 1969.
Tuan Muhammad Ismi bin Mat Taib [Parit] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan usaha Kementerian untuk mengesan lebih 1.2 juta warga China yang dilaporkan tidak keluar dari Malaysia selepas tiba ke negara ini dalam tempoh di antara 2018 hingga 2021.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal [Machang] minta Menteri Kesihatan menyatakan sama ada terdapat sebarang rancangan naik taraf kemudahan, peralatan, perisian dan perkara-perkara berkaitan operasi di jabatan-jabatan dan agensi-agensi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia di daerah Machang memandangkan kebanyakan perkara-perkara tersebut telah usang dan lapuk, perlu diganti. Sebagai contoh di Klinik Kesihatan Temangan.
Tuan Zahari bin Kechik [Jeli] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan langkah dan perancangan Kerajaan dalam menangani isu kesesakan banduan di penjara di seluruh negara.
Tuan Roslan bin Hashim [Kulim Bandar Baharu] minta Menteri Kewangan menyatakan tindakan yang diambil oleh Kementerian Kewangan Malaysia dalam mengatasi isu kejatuhan harga Ringgit jangka pendek dan panjang.
Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor [Temerloh] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan:
(a) kriteria yang diperlukan oleh KDN untuk meluluskan kewarganegaraan daripada warga asing; dan
(b) berapa jumlah warga asing yang mendapat visa pelancong dan visa pekerja tetapi tidak keluar daripada negara ini selepas tamat tempoh dan apakah usaha Kerajaan mengatasi permasalahan ini.
Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Abdullah [Langkawi] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan tindakan terhadap NGO atau pertubuhan yang menggunakan uniform menyerupai anggota tentera, polis atau bomba dan siapakah yang mengawal selia protokol pemakaian uniform tersebut.
Tuan Sabri bin Azit [Jerai] minta Menteri Pendidikan menyatakan langkah-langkah memulihkan penguasaan Jawi di peringkat menengah atas di sekolah-sekolah harian.
Datuk Iskandar Dzulkarnain bin Abdul Khalid [Kuala Kangsar] minta Menteri Pendidikan menyatakan sejauh manakah impak penjenamaan semula istilah Kolej Tingkatan Enam kepada Kolej Pra Universiti KPM ini terhadap peningkatan kemasukan pelajar ke peringkat lebih tinggi dan apakah justifikasi Kementerian tidak mempertimbangkan perubahan gred perjawatan susulan penjenamaan semula ini. – HARAKAHDAILY 23/10/2023
No comments:
Post a Comment