Hangat diperkatakan baru-baru ini tentang sebuah acara larian maraton yang dianjurkan di Kuala Lumpur oleh sebuah syarikat yang berasaskan riba yang telah menimbulkan persoalan tentang penyertaannya oleh orang Islam.
Menurut penjelasan Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, mantan Menteri di JPM dan juga mantan Mufti Wilayah Persekutuan, masyarakat islam perlu tahu bahawa riba itu merupakan perkara yang jelas pengharamannya oleh syara’.
Tambah Dr. Zul lagi, persoalan yang diajukan berkaitan dengan masalah mempromosikan sesuatu yang jelas pengharamannya dan berdasarkan Kamus Dewan, promosi didefinisikan sebagai usaha dan kegiatan untuk menggalakkan atau meningkatkan jualan barangan seperti pelancongan dan sebagainya.
Jadi, segala bentuk usaha atau kegiatan yang boleh menggalakkan masyarakat atau mempertingkatkan jumlah pelanggan yang akan menggunakan sebarang perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat berasaskan riba tersebut adalah termasuk dalam maksud promosi tersebut.
Hal ini kerana ia boleh dianggap tolong-menolong dalam perkara kemungkaran sama ada secara langsung ataupun tidak langsung.
Tambahnya lagi, berdasarkan pemerhatian, laman rasmi acara tersebut jelas menyebutkan institusi dan syarikat yang turut bekerjasama dan menyumbang bagi menjayakan acara larian jarak jauh tersebut.
Selain itu, baju yang diberikan secara percuma untuk mereka yang menamatkan larian itu turut dicetak bersama beberapa logo, antaranya, logo rasmi syarikat penganjur, logo acara maraton serta nama syarikat yang dimaksudkan serta logo rasmi syarikat menjual kelengkapan sukan.
Menurut penjelasan Dr. Zul, antara logo-logo yang disebutkan di atas terdapat unsur mempromosikan syarikat berasaskan riba dan ini jelas merupakan satu bentuk promosi yang dilarang.
Hujah lain pula kerana “promosi” itu sendiri akan menjadi perantara dan asbab meningkatnya pengamalan riba di syarikat tersebut.
Kesimpulannya, seseorang muslim itu tidak boleh menyertai acara maraton yang dianjurkan oleh institusi berasaskan riba kerana ianya merupakan wasilah kepada perkara yang jelas pengharamannya, iaitu riba.
Selain itu, sekiranya dia mengetahui tentang pihak yang menaja acara tersebut menjalankan jual beli yang diharamkan oleh syara‘, tetapi masih degil dan enggan menjauhkan diri daripada mempromosikan syarikat tersebut, maka dia telah melakukan perkara yang haram dan berdosa.
Pun begitu, sekiranya dia tidak cakna tentang senarai penaja bagi acara maraton tersebut, atau tidak tahu bahawa syarikat tersebut menjalankan jual beli yang berunsurkan riba, maka Dr. Zul berharap mereka ini diberikan keampunan oleh Allah SWT atas kesilapan apa yang mereka telah lakukan tanpa pengetahuan.
Dalam masa yang sama, Dr. Zul menasihatkan para pendakwah agar tidak memukul rata kesemua peserta yang sertai acara maraton ini sebagai pendosa yang sengaja mempromosikan syarikat berasaskan riba.
Sumber : Maktabah al- Bakri
Credit:Lobak Merah
No comments:
Post a Comment