MELAKA: Penganjuran sulung Himpunan Sejuta Pembela Palestin yang bakal berlangsung di Stadium Hang Jebat di sini, Ahad ini dilaksanakan bukan atas dasar emosi, semata-mata untuk mengutuk kekejaman Israel di bumi Palestin.
Pengerusi Serantau Muslim, Mohd. Hakim Mohd. Noor berkata, kefahaman yang cuba diterapkan dalam himpunan kali ini adalah melalui tadabbur atau menghayati al-Quran dengan memfokuskan tujuh surah musabbihat yang dimulai dengan tasbih kepada Allah.
Beliau berkata, himpunan di Melaka menyasarkan kehadiran 10,000 orang daripada pelbagai latar belakang termasuk orang bukan Islam dan akan diteruskan ke negeri-negeri lain seperti Kedah, Kelantan serta Selangor sehingga awal tahun depan.
“Kita menyasarkan kali ini bukan dasar emosi tetapi dasar kefahaman melalui program tadabbur al-Quran yang menjadi dasar kepada program himpunan melalui tadabbur ayat-ayat musabbihat.
“Tujuh surah yang akan menjadi formula pembebasan al-Aqsa yang mana disebut dalam beberapa ucapan pimpinan bahawa peperangan atau peristiwa yang berlaku di Palestin hari ini adalah permulaan kepada pengakhiran.
“Iaitu dalam masa tempoh beberapa ketika ini negara Israel Zionis itu akan lenyap kerana itu yang dijanjikan dalam al-Quran,” katanya dalam sidang akhbar khas di Bilik Mesyuarat Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Kota Cemerlang di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Yayasan DMDI, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali yang juga sekretariat bersama Himpunan Sejuta Pembela Palestin di Melaka.
Mengulas berkenaan bantuan kewangan dari Malaysia ke Palestin, Mohd. Hakim berkata, sasaran RM100 juta yang ditetapkan kerajaan diyakini menjadi kenyataan bagi membantu umat Islam di sana.
“Dengan sokongan gelombang ini kita lihat kutipan daripada dana-dana awam melalui Kerajaan Malaysia telah berjaya mencatat hampir RM100 juta. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) gabungan, kita dapat kutip menghampiri RM20 juta.
“Kita mengharapkan dengan adanya gelombang di peringkat negeri, kita dapat meneruskan lagi supaya dapat menghantar sehingga mencapai sasaran seperti mana Kerajaan Malaysia meletakkan iaitu RM100 juta,” jelasnya. – UTUSAN
No comments:
Post a Comment