BAITULMAQDIS: Israel sedang bersedia untuk melakukan pencerobohan darat ke atas Gaza, kata Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu dalam satu kenyataan yang disiarkan, tetapi enggan memberikan sebarang butiran masa dan maklumat lain mengenai operasi itu.
Katanya, keputusan mengenai bila tentera akan memasuki kawasan Palestin yang dikawal oleh Hamas, akan dibuat kabinet perang khas kerajaan, termasuk satu daripada ketua parti pembangkang.
"Kami sedang bersiap untuk serangan darat. Saya tidak akan menghuraikan bila, bagaimana atau berapa. Saya juga tidak akan menghuraikan pelbagai pengiraan yang kami buat, yang kebanyakannya tidak diketahui orang ramai dan begitulah keadaannya," kata Netanyahu.
Israel sejak beberapa hari lalu mengebom kawasan di Semenanjung Gaza yang padat dengan penduduk susulan serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas komuniti Israel yang mengorbankan kira-kira 1,400 orang.
Lebih 6,500 rakyat Palestin terbunuh dalam pengeboman itu, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Netanyahu, yang setakat ini tidak bertanggungjawab atas kegagalan keselamatan yang membawa kepada serangan Hamas, berkata semua yang terbabit akan diminta bertanggungjawab.
"Skandal itu akan disiasat sepenuhnya. Semua orang perlu memberi jawapan, saya juga. Tetapi semua ini hanya akan berlaku selepas perang," katanya.
Terdahulu, memetik pegawai Amerika Syarikat (AS) dan Israel, Wall Street Journal melaporkan Israel bersetuju untuk menangguhkan pencerobohan ke atas Gaza buat masa ini, supaya AS boleh menyegerakan pertahanan peluru berpandu ke rantau itu.
Reuters melaporkan, Washington menasihatkan Israel untuk menangguhkan serangan darat. - REUTERS
No comments:
Post a Comment