MENELITI beberapa tulisan tinjauan daripada beberapa pengkritik politik mengenai keputusan PRK Pelangai hampir semua seperti bersetuju bahawa Gelombang PN atau ada yang melabelkan sebagai Gelombang Hijau telah lenyap.
Bahkan ada penulis yang lebih berani atau mungkin cuba membodek kerajaan madani bahawa keputusan 3:0 hasil daripada tiga PRK menunjukkan gabungan perkahwinan BN:PH sudah mula diterima rakyat. Ia seolah memberi isyarat rakyat merestui perkahwinan yang terjalin melalui penipuan janji pilihan raya oleh kedua-dua BN dan PH kepada pengundi.
Malah pihak PH-BN mendakwa kemenangan PRK Pelangai adalah disebabkan penolakan kehadiran Panglima Perang Sanusi ke Pelangai. Jelas mereka pihak PH-BN melihat keputusan PRK Pelangai secara harfiah atau secara literal sahaja tanpa memahami maksud tersirat apa yang dikehendaki penduduk Pelangai sebenarnya.
Sebagai sebuah Kerajaan Pusat yang membawa agenda madani serta menguasai jentera-jentera kerajaan sudah tentu ini beri kelebihan kepada PH-BN yang bertanding di kubu kuat Umno di Pahang. Malah kubu kuat Pelangai inilah juga tempat berkubu bekas Menteri Besar Pahang dari Umno suatu ketika dahulu.
Pihak PN khususnya PAS cuba menampilkan seorang calon yang hebat dan dekat dengan rakyat malah pihak PN juga cuba menurunkan segala kekuatan yang ada untuk memecahkan tembok kubu kuat Umno di Pahang.
Justeru tidak hairanlah segala taktik kotor gamak Umno gunakan seperti mengubah lokasi ceramah PN, membuat fitnah, menggula-gulakan rakyat dengan jualan beras murah walhal negara sedang mengalami krisis beras dan pelbagai usaha untuk menggagalkan kempen PN di Pelangai.
Analisa keputusan menunjukkan PH-BN secara 2 penjuru lawan PN, hanya mampu menang sebanyak 2,949 majoriti sahaja berbanding semasa PRU15 pada tahun lepas memenangi dengan 4,048 majoriti secara 3 penjuru.
Sepatutnya undi majoriti naik lebih tinggi apabila bergabung PH-BN sebaliknya undi majoriti merosot banyak kali ini.
Di pihak PN ucapan tahniah dan syabas wajar diberikan kepada seluruh jentera PN yang jelas berjaya menggoncangkan kubu kuat Umno di Pelangai. Malah keputusan itu beri petanda baik dan positif bahawa kubu kuat Pelangai bakal runtuh dalam pilihan raya seterusnya.
BN merasakan mereka masih dan akan terus mempunyai peluang di Pelangai sedangkan sebagai satu parti besar dengan komponen utama ialah Umno, MCA dan MIC keputusan Pelangai menunjukkan sokongan Melayu merosot teruk. Atau kata mudahnya ialah Melayu tidak lagi sokong BN.
Kemenangan BN di Pelangai seharusnya berterima kasih kepada pengundi bukan-Melayu yang memang diketahui sebagai penyokong kuat PH khususnya DAP. Ini menunjukkan secara tidak langsung MCA tidak akan ada lagi tempat dalam kem PH-BN bagi pilihan raya yang seterusnya. Atau kata mudahnya ialah BN dapat sokongan pun kerana DAP.
Pihak PH-BN sepatutnya tidak terbuai-buai dengan keputusan 3:0 bak ibarat mimpi indah bulan madu perkahwinan PH-BN. Mimpi hanyalah suatu angan-angan yang akan berakhir apabila secara realiti adalah kemusnahan sedikit demi sedikit.
Umno sedang menuju kepupusan apabila sedikit demi sedikit orang melayu sudah tidak lagi menjadikan Umno parti utama pembela hak orang Melayu.
Malah MCA dan MIC juga bukan lagi parti yang diharapkan dapat menguatkan sebaliknya dianggap sebagai biawak hidup kepada Umno malah dilihat sebagai melukut di tepi gantang sahaja dalam gabungan PH-BN apabila dilihat tiada lagi fungsi dan sumbangan dalam PH-BN.
Tahniah kepada seluruh jentera PN dan juga tahniah kepada seluruh pengundi-pengundi Pelangai yang telah memilih. Siapa pun pemimpin yang dipilih wajar kita hormati hak pengundi melalui proses demokrasi yang kita sama-sama pertahankan.
ABU FATEH – HARAKAHDAILY 10/10/2023
Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid02EJUWTVfbNUb3AZSnyD4DacZxCXiVLxH76Bu3gsR9Jj1KsV8Rw8gvPzVpX81SU4HSl&id=100064584887142&mibextid=Nif5oz
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.
No comments:
Post a Comment