LIVERPOOL: Mohamed Salah merayu agar bantuan kemanusiaan segera dibenarkan memasuki Gaza dan menyeru pemimpin dunia bersama menghentikan ‘penyembelihan nyawa tidak bersalah’ dalam konflik Israel-Palestin.
Penyerang Mesir dan Liverpool itu menyiarkan video di semua platform media sosialnya selepas membuat sumbangan untuk membantu mereka yang terjejas akibat serangan udara Israel.
Salah, 31, antara pemain bola sepak Islam berprofil tinggi membuat sumbangan kepada Bulan Sabit Merah Mesir, Ahad lalu. Jumlahnya tidak didedahkan tetapi dikatakan besar.
“Bantuan kemanusiaan ke Gaza mesti dibenarkan serta-merta. Penduduk di sana dalam keadaan amat teruk.
“Keadaan di hospital malam tadi sangat mengerikan. Penduduk Gaza memerlukan makanan, air dan bantuan perubatan segera.
“Saya menyeru pemimpin dunia untuk bersama-sama mencegah pembunuhan jiwa yang tidak bersalah – kemanusiaan mesti diutamakan,” kata Salah kepada lebih 60 juta pengikutnya di X, Instagram dan Facebook.
Kelmarin, serangan udara yang dilancarkan Israel ke atas sebuah hospital di Gaza mengorbankan lebih 500 nyawa termasuk wanita dan kanak-kanak disifatkan sebagai insiden terburuk di rantau itu sejak ketegangan memuncak 7 Oktober lalu.
Dilaporkan, kira-kira 3,000 penduduk Palestin terbunuh dalam serangan Israel di seluruh Semenanjung Gaza sejak konflik meletus pada 7 Oktober lalu. – AGENSI
No comments:
Post a Comment