LONDON: Tottenham melonjak ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris selepas Son Heung-min dan James Maddison memastikan kemenangan 2-0 ke atas Fulham.
Skuad kendalian Ange Postecoglou melebarkan permulaan tanpa kalah kepada sembilan perlawanan liga hasil jaringan pembukaan Heung-min dan gol pertama Maddison di Stadium Tottenham Hotspur sejak berpindah dari Leicester.
Tottenham memintas Manchester City, Arsenal dan Liverpool untuk berada di puncak dengan kelebihan dua mata ke atas pesaing terdekat.
Fulham satu-satunya pasukan yang menewaskan Tottenham musim ini, menyingkirkan mereka daripada saingan Piala Liga menerusi sepakan penalti pada Ogos.
Mereka bangkit daripada kekalahan itu dengan mencatat tiga kemenangan liga berturut-turut untuk menjadi antara pesaing utama kejuaraan liga musim ini.
"Mereka adalah pemain-pemain berkualiti. Kedua-duanya adalah ketua di kelab ini. Mereka bekerja keras untuk pasukan dan pujian buat mereka," kata Postecoglu berkenaan persembahan Heung-min dan Maddison.
Permulaan cemerlang Tottenham di bawah kendalian Postecoglou membangkitkan impian kelab untuk menjuarai liga buat pertama kali sejak kejuaraan berganda skuad Bill Nicholson pada tahun 1961.
Tottenham belum pernah memenangi sebarang trofi sejak tahun 2008 dan kehadiran pengendali dari Australia itu ternyata memberi impak segera.
Postecoglou kini mencatat rekod sebagai pengendali baharu yang mengutip mata tertinggi dalam sembilan perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris, pada 23 mata, mengatasi rekod sebelumnya yang dipegang Mike Walker dan Guus Hiddink. - AFP
No comments:
Post a Comment