YouTuber Jafar Darma berkata golongan muda ingin menjadi pencipta kandungan memerlukan ilmu seperti disaran Khairul Aming.
PETALING JAYA: “Bagai cendawan tumbuh selepas hujan”, ramai memilih menjadi pencipta kandungan media sosial selepas pandemik Covid-19 kerana menyangka ia mampu menjana pendapatan hingga puluhan ribu ringgit.
Namun, ia tidak semudah disangka kerana penghasilan bahan kreatif sebenarnya memerlukan ilmu pengetahuan bukan hanya sekadar suka-suka, kata seorang YouTuber Jafar Darma kepada FMT.
Menurut pemilik saluran Brojep Share itu, nasihat pempengaruh media sosial Khairul Aming ketika dinobatkan pencipta kandungan terbaik pada Ogos lalu supaya golongan muda ingin menceburi bidang itu tidak mengabaikan ilmu dan menamatkan pembelajaran terlebih dahulu harus diikuti.
“Yang penting pembelajaran tu kita mesti teruskan. Paling penting bila buat kandungan buatlah yang macam Khairul Aming…cakap kandungan sopan, ada rasional dan tidak memuat naik video terlalu sensitif akhirnya memakan diri,” katanya yang setakat ini mempunyai 180,000 pengikut.
Sementara itu, pempengaruh TikTok Sharrel Baharum, 41, berkata dia memilih mengehadkan penghasilan kandungan promosi atau kempen kerana lebih mementingkan kualiti berbanding pendapatan.
“Saya sendiri pun tak suka ambil kerja cipta kandungan sebab saya takut tak boleh buat, jadi memang had video promosi produk,” katanya yang selalu berpegang kepada kata-kata sesebuah kandungan harus mempunyai moral dan sesuai cara penyampaiannya.
Sharrel berkata, beliau lebih fokus kepada tugas sebagai penjawat awam dan meluangkan masa bersama keluarga berbanding menghabiskan masa lama menjadi pencipta kandungan.
Bagaimanapun, dia masih mampu meraih RM1,000 hingga RM1,500 sebulan daripada pelanggannya yang menyiarkan kandungan berbayar di platform media sosialnya.
Difahamkan, seseorang pencipta kandungan boleh mendapat bayaran minimum RM4,000 sebulan bergantung kepada jumlah tontonan video dan bayaran pengiklanan.-FMT
No comments:
Post a Comment