Kuala Lumpur: Pelakon, Shah Radhi yang pernah didakwa memikat isteri orang untuk melakukan persetubuhan meminta orang ramai tidak lagi mengaitkan dirinya dengan kontroversi itu.
Shah atau nama sebenarnya, Muhammad Shah Radhi Hazvee, 27, berkata, dia juga banyak bermuhasabah diri dan menganggap kontroversi yang berlaku dulu adalah ujian yang mematangkan dirinya.
"Saya bukan penjenayah atau bekas banduan. Saya anggap ia sebagai dugaan untuk terus perbaiki diri.
"Saya bukannya baik tetapi tak sejahat manapun seperti tanggapan orang yang anggap saya kena tangkap basah. Kes itu juga sudah selesai dan pihak mahkamah putuskan saya tidak bersalah," katanya.
Terdahulu, Shah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memikat isteri orang dengan niat untuk melakukan persetubuhan pada 29 Mei 2020.
Dia didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan iaitu memikat atau membawa pergi atau menahan seseorang perempuan bersuami dengan niat jenayah dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 iaitu Kelakuan Aib.
Shah berkata, dia ditahan pada hari kedua pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 dan ahli keluarganya juga tidak dibenarkan melawat.
"Sepanjang tempoh ditahan dalam lokap untuk proses soal siasat selama tiga hari itu, fikiran saya kosong serta tiada selera makan dan susah nak tidur waktu malam. Ia juga kejadian yang paling sukar dilupakan untuk seumur hidup saya," katanya.
Katanya, dia juga mengambil tempoh dua minggu selepas kejadian itu untuk keluar rumah dan bertemu orang.
Ditanya mengenai kerjaya lakonannya, Shah yang juga pelakon drama Monalisa dan Hero Bomba berkata, dia kembali berlakon kerana itu adalah minatnya sejak dulu.
"Alhamdulillah, saya juga mendapat beberapa tawaran berlakon daripada penerbit dan pengarah ketika ini.
"Saya juga sudah membuat penjenamaan semula dan hanya mahu dikenali sebagai Shah Radhi dan bukan Shah Radhi Hazvee kerana sudah buka buku baru dan 'move on' dari kisah silam itu," katanya
Pada masa sama, kata Shah, dia harap tiada pihak yang memandang serong padanya lagi.
"Semua orang ada kisah gelap mereka dan tidak semua orang yang kena tahan di lokap itu jahat kerana ada juga yang dianiaya orang," katanya.
Terbaru, Shah membintangi filem Tiga Rasa arahan Zizan Nin sebagai watak utama. Dia berganding dengan Syazani Zikry dan Iman Zulkarnain.
-myMetro
No comments:
Post a Comment