NEW YORK: Sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kecoh apabila beberapa wakil Israel dan negara Arab saling melemparkan tuduhan ketika perbincangan isu perang Palestin-Israel.
Pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) itu, sebahagian besar anggota menuduh Majlis Keselamatan PBB (UNGA) gagal mengambil tindakan dan tidak memainkan peranannya secara telus.
Ketegangan berterusan apabila Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi, yang mewakili 22 negara Arab, mendakwa Israel 'menjadikan Gaza sebagai neraka yang kekal di bumi'.
"Trauma bakal menghantui generasi akan datang," katanya sambil menambah 'hak mempertahankan diri bukanlah lesen untuk membunuh sewenang-wenangnya dan hukuman kolektif adalah jenayah perang, bukannya mempertahankan diri'.
Jordan turut mengedarkan deraf resolusi yang masih dalam perbincangan, yang akan menjalani pengundian, hari ini.
Deraf berkenaan memberi tumpuan kepada krisis kemanusiaan, selain menggesa gencatan senjata segera' serta 'akses kemanusiaan tanpa halangan' ke Semenanjung Gaza.
Ia juga menggesa semua pihak mematuhi peruntukan 'perlindungan orang awam', namun tidak menyatakan mengenai serangan Hamas, selain Duta Israel ke PBB, Gilad Erdan, mengecam deraf berkenaan.
Sementara itu, Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour, berkata PBB boleh melakukan sesuatu untuk memberi isyarat penting bagi menghentikan kegilaan rejim Zionis, selain menegaskan pilihannya jelas ialah keadilan, bukannya membalas dendam.
Pertelingkahan itu mendedahkan perpecahan dalam UNSC dengan empat resolusi gagal mendapat sokongan atau disekat oleh kuasa veto dalam tempoh kurang dua minggu.
Negara Arab berharap Perhimpunan Agung yang mempunyai keseimbangan kuasa berbeza dan tiada negara memiliki veto mampu bertindak, walaupun tidak terikat dengan sebarang resolusi.
Pengeboman tanpa henti Israel yang dilancarkan pada 7 Oktober adalah tindakan balas serangan Hamas yang menurut pegawai Israel membunuh 1,400 orang, manakala lebih 200 lagi diculik.
Berdasarkan Kementerian Kesihatan kendalian Hamas di Gaza, serangan terbabit mengorbankan lebih 7,000 mangsa dengan angka korban dijangka melonjak, jika tentera Israel yang berkumpul berdekatan sempadan wilayah Palestin memulakan serangan darat. - AFP
No comments:
Post a Comment