Isnaraissah Munirah Majilis dari Warisan mengajak rakan wakil rakyat dari Sabah untuk terus fokus perjuangan.
Isnaraissah Munirah Majilis berkata pentadbiran wilayah Sarawak yang lebih maju dalam pelbagai sektor wajar dicontohi.
KUALA LUMPUR: Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) meminta wakil rakyat dari Sabah tidak terus menyalahkan Putrajaya, apabila negeri itu terus ketinggalan dari segi pembangunan infrastruktur khususnya jalan raya, air dan elektrik.
Beliau berkata mereka harus mencontohi pentadbiran wilayah Sarawak, yang lebih maju dalam pelbagai sektor termasuk jaringan Lebuhraya Pan Borneo yang dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun ini, berbanding empat tahun lagi di Sabah.
“Begitu sekali pun bukan bermakna segala kepincangan yang membelenggu Sabah ‘is totally Malaya made’… kita tidak boleh terus-terus salahkan Malaya (merujuk pentadbiran persekutuan),” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat.
“Kita cakap mahu jadi macam Sarawak tapi kita tidak fikir macam orang Sarawak. Kita tidak bertindak macam orang Sarawak.”
Beliau turut mengajak rakan wakil rakyat dari Sabah supaya terus fokus kepada perjuangan dan tidak terpengaruh dengan ketamakan.
“Tanggungjawab kita adalah jaga Sabah, bukan kasi kaya diri,” katanya.
Beliau turut membangkitkan kegagalan untuk menunaikan perkara berhubung royalti minyak dan bayaran tunai petroleum; mineral minyak dan medan minyak; Akta Laut Wilayah (Akta 750), dan hak negeri ke atas pelantar benua.
“Bila persekutuan nak selesaikan perkara-perkara ini?
“Walaupun kebersamaan Sabah membentuk persekutuan Malaysia didorong oleh keyakinan berdasarkan perjanjian yang didokumenkan dengan terma kukuh dah sahih, adalah mengecewakan apabila terma-terma tersebut tidak dipatuhi dan dilaksanakan,” katanya.
Tegasnya, Sabah sebuah negeri yang luas memerlukan dana besar untuk pembangunan.
“Itu harus difahami. Apa yang harus difahami juga adalah hak Sabah mendapatkan bahagian daripada hasil yang diperolehi dari tanah Sabah sendiri,” tegasnya.-FMT
No comments:
Post a Comment