GAZA: Israel dibiarkan terus bermaharajalela melancarkan satu lagi serangan udara, kali ini ke atas kem pelarian al-Shati di Gaza yang dilaporkan membunuh puluhan orang.
Sebuah klip video oleh Al Jazeera Arabic di media sosial X memaparkan anggota pertahanan awam, paramedik dan orang awam mengalihkan timbunan konkrit bagi menyelamatkan mangsa yang cedera parah dan tertimbus di bawah runtuhan bangunan akibat serangan malam tadi.
Laporan awal menyatakan puluhan penduduk terbunuh dan cedera dalam serangan itu, meskipun jumlah sebenar mangsa tidak dapat ditentukan dengan segera.
Tatkala operasi menyelamat dilakukan, video itu turut merakamkan satu lagi serangan udara Israel di kawasan berhampiran menyebabkan orang ramai panik.
Seperti biasa, jurucakap tentera Israel memberi alasan serangan pihaknya menyasarkan markas darat Hamas di kem berkenaan, tetapi tidak menjelaskan lebih lanjut.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf Al-Qudra, dalam kenyataan di Facebook, berkata mangsa serangan Israel di kem berkenaan sebahagian besarnya adalah kanak-kanak dan wanita.
Dalam pada itu, kebimbangan perang Israel-Palestin kian parah apabila pejuang Hizbullah menyertai Hamas untuk menentang rejim Zionis.
Pada masa sama, Washington memberi amaran mengenai risiko besar kepada kepentingan Amerika Syarikat (AS) di rantau itu apabila sekutunya, Israel terus menggempur Gaza dan kini merebak ke sempadan Lubnan.
-buletintv3.my
No comments:
Post a Comment