Kuala Lumpur: Selepas tiga hari tidak mendengar khabar keluarganya di Gaza, Palestin, akhirnya Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman menerima kiriman balas WhatsApp isterinya semalam, yang memaklumkan mereka semua selamat.
Khabar berita itu melegakan hati lelaki ini yang jauh dari keluarganya kerana berada di Malaysia atas beberapa urusan ketika konflik Israel-Hamas terbaharu meletus sejak 7 Oktober lalu.
Nadir Al Nuri berkata, isterinya, Reem Al-Minawi bersama tujuh anak mereka berjaya melarikan diri dan berlindung di rumah keluarga mereka, di kawasan penempatan selepas kediaman mereka dibom Israel.
"Jumaat lepas saya hantar WhatsApp, tadi (semalam) mereka balas, alhamdulillah semua masih ok dan Allah jaga (lindung).
"Mereka berjaya melarikan diri dan berlindung di rumah keluarga.
"Mereka masih bertahan dengan makan apa yang ada, yang boleh dimasak dan dibeli," katanya membalas mesej kiriman Harian Metro, malam tadi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) itu, isterinya turut mengirimkan gambar anak mereka sedang membuat piza sekali gus mengubat kerinduannya.
"Anak saya, Haura' ajak saya balik makan piza.
"Saya cakap: 'Insya-Allah Haura', semoga Allah kumpulkan kita semua dapat makan bersama macam sebelum ini," katanya.
Sebelum ini Nadir Al Nuri berkongsi, isterinya seorang wanita kuat dan tabah apabila dia sendiri merelakan Nadir terus kekal di Malaysia ketika mereka lapan beranak berjuang di Gaza.
"Saya pernah tanya isteri, dia nak tak kalau saya balik (Gaza) untuk bersama mereka, tapi isteri kata kalau balik, saya hanya dapat pertahankan lapan batang tubuh ahli keluarga saja.
"Tapi kalau saya berada di Malaysia dia cakap, khidmat saya memberikan kefahaman dan bangkitkan semangat anak-anak muda Malaysia untuk gerakkan solidariti terhadap pembebasan Palestin akan lebih berkesan.
"Dia sempat minta maaf dan meminta saya reda kalau nyawa dia ditarik pada bila-bila masa," katanya.
Sementara itu, mengulas situasi terkini, Nadir berkata, keadaan di Gaza semakin teruk dengan semalam serangan terburuk dilancarkan Israel sejak 19 hari peperangan.
"Teruskan berdoa dan menyumbang kerana keadaan semakin getir.
"Bila-bila masa saja serangan darat boleh dilancarkan," katanya.
Katanya, sumbangan rakyat Malaysia yang terkumpul RM3.2 juta berjaya sampai kepada mereka yang memerlukan di Gaza.
"Bantuan segera untuk kotak makanan, makanan panas dan perubatan bernilai RM1,838,604.75 disalurkan kepada Gaza.
"Sebanyak RM80,370 disalurkan untuk bekalan bahan api, bantuan kewangan bernilai RM1,175,000 serta alat kelengkapan penyelamat (RM145,089)," katanya.
Mereka yang ingin membantu rakyat Palestin boleh menyumbang melalui https://emergency4gaza.com/kecemasan atau salurkan ke akaun rasmi Maybank CGM 564810507826 dengan menyatakan rujukan kecemasan.
Setakat semalam, data Kementerian Kesihatan merekodkan, angka korban rakyat Palestin meningkat kepada 5,087 membabitkan 2,055 kanak-kanak, 1,119 wanita dan 217 warga emas manakala 15,273 orang lagi cedera.
-myMetro
No comments:
Post a Comment