Sidang hari ini juga akan menyambung sesi perbahasan Belanjawan 2024 yang masuk hari kelima.
Belanjawan 2024 akan dibahas pada peringkat dasar di Dewan Rakyat selama lapan hari, sebelum sesi jawapan oleh menteri selama empat hari bermula 30 Okt. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Pendirian kerajaan berhubung isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R) serta penyelesaian masalah penduduk yang tidak mempunyai dokumen antara tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) meminta menteri dalam negeri menyatakan pendirian kerajaan berhubung isu 3R serta asas perundangan yang diguna pakai untuk melarang rakyat Malaysia daripada menyentuh perkara tersebut.
Muhyiddin mengemukakan soalan itu ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.
Selain itu, Suhaili Abdul Rahman (PN-Labuan) meminta menteri pengangkutan menyatakan sebab Malaysia Airlines menamatkan perkhidmatan katering dalam penerbangan Brahim’s Food Services Sdn Bhd sebelum melantik katerer yang baru.
Sidang hari ini juga akan menyambung sesi perbahasan Belanjawan 2024 yang masuk hari kelima, selepas ia dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 13 Okt lepas.
Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2024 itu akan dibahas pada peringkat dasar selama lapan hari, sebelum sesi jawapan oleh menteri selama empat hari bermula 30 Okt.
Ahli-Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan RUU berkenaan pada peringkat jawatankuasa selama 12 hari bermula 6 Nov.
Sidang Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari bermula 9 Okt hingga 30 Nov ini.-FMT
No comments:
Post a Comment