Beberapa hari lepas tular video di media sosial yang memperlihatkan Menteri Dalam Negeri,
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail seperti sedang mengendalikan perkahwinan pasangan agama lain.
Oleh itu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan, proses pendaftaran Perkahwinan Sivil
Tidak dipengaruhi, tidak melibatkan, tidak menyerupai, tidak melambangkan dengan mana-mana ritual keagamaan atau adat sesuatu kaum.
Menurut kenyataan JPN, sesi pendaftaran perkahwinan yang dijalankan di JPN adalah berlandaskan undang-undang sivil di bawah Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164].
Berdasarkan akta itu , katanya, Menteri Dalam Negeri (MDN) merupakan menteri bertanggungjawab bagi pendaftaran perkahwinan sivil yang membolehkan beliau melakukan pendaftaran perkahwinan pasangan bukan Islam.
Menurut JPN lagi, lafaz ikrar yang dituturkan oleh pendaftar adalah perkataan yang terkandung dalam Seksyen 23, Akta 164 yang berbentuk keterangan sifat perkahwinan sivil semata-mata.
“Ia juga persetujuan dan kesanggupan pasangan menerima perkahwinan tersebut dengan rela hati tanpa paksaan dari mana-mana pihak.
“Malah sesi pendaftaran Perkahwinan Sivil dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ini diadakan sebagai acara istimewa untuk pasangan terpilih ketika sambutan Hari Pendaftaran Negara setiap tahun,” katanya lagi.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjelaskan video tular di media sosial ketika ini mengenai Menteri Dalam Negeri sedang mendaftarkan perkahwinan sivil pasangan bukan muslim di Pejabat JPN Putrajaya sempena Majlis Sambutan Jubli Intan JPN pada tempoh hari lalu.
Difahamkan video berkenaan adalah rakaman Menteri Dalam Negeri yang dijemput oleh JPN untuk merasmikan majlis itu dan antara pengisian program adalah mendaftarkan perkahwinan sivil dua pasangan yang telah dipilih oleh JPN.
Selain MDN, beberapa pihak turut diberikan kuasa untuk mendaftarkan perkahwinan iaitu Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara dan Pengarah Bahagian Perkahwinan dan Perceraian, Pengarah Pendaftaran Negeri.
Ini termasuk pegawai dan kakitangan JPN yang bertugas di Bahagian Perkahwinan dan Perceraian sebagai Timbalan Pendaftar Perkahwinan turut diberikan kuasa tersebut.
Pada masa sama, orang ramai digesa berhenti menyebarkan maklumat yang tidak benar dan meneliti setiap berita yang dibaca dan diterima bagi memastikan ketenteraman awam negara terus terpelihara.
-Info Rakyat
No comments:
Post a Comment