Sekali lagi sidang Dewan Rakyat ditangguhkan seketika petang ini semasa sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024.
Ahli Parlimen Parit Buntar (Perikatan Nasional), Mohd Misbahul Munir Masduki mempersoalkan kekurangan ahli dalam Dewan Rakyat dengan membangkitkan peraturan mesyuarat 13(1) kepada Speaker kerana tidak sampai 26 Ahli Parlimen (MP) berada dalam dewan.
“Tak cukup korum. Hanya 17, 18 orang saja. Ahli Parlimen kerajaan cuma tujuh orang (dalam dewan),” katanya.
Sejurus selepas itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong mengarahkan loceng dibunyikan dan ia berlangsung selama kira-kira dua minit.
Sebelum loceng dibunyi, MP Stampin, Chong Chieng Jen bangkit mencelah memaklumkan sebahagian mereka ketika itu sedang menghadiri satu taklimat di bangunan Parlimen.
“Ada taklimat di aras dua. Kebanyakan Ahli Parlimen mengahadiri taklimat yang diadakan oleh KPM (Kementerian Pendidikan),” katanya.
Bilangan korum mencukupi untuk membolehkan satu-satu majlis Parlimen bersidang adalah 26 orang.
Terdahulu pada 19 Oktober lalu, sesi perbahasan juga ditangguhkan sementara selepas MP Masjid Tanah (Perikatan Nasional) Datuk Mas Ermieyati Samsudin membangkitkan tentang situasi itu ketika MP Lubok Antu (GPS) Roy Angau Gingkoi berbahas dan kiraan terpaksa dilakukan.
-Agenda Daily
No comments:
Post a Comment