Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan hadir pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 MEI 2023.
KUALA LUMPUR – Gabungan pembangkang akan mengadakan satu perbincangan mengenai situasi semasa yang ‘menghimpit’ Perikatan Nasional (PN).
Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) berkata, perbincangan itu melibatkan semua ahli-ahli Parlimen pembangkang dan juga kepimpinan peringkat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ia termasuk tindakan Suhaili Abdul Rahman (PN-Labuan) yang mengisytihar sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita pun baru baca surat yang dikeluarkan Suhaili, jadi ada perbincangan yang akan dilakukan peringkat parti dan juga di peringkat Ahli Parlimen dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Bekas Bekas Ketua Penerangan Bersatu itu diminta mengulas mengenai kenyataan Suhaili yang mengisytihar sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri.
Suhaili berkata, tindakan tersebut diambil selepas mempertimbangkan dengan teliti rintihan rakyat Labuan yang terhadap kos sara hidup yang semakin tinggi.
Mengulas lanjut, Wan Saiful yakin satu keputusan mengenai perkara itu akan diumumkan kepimpinan tertinggi PN dalam masa terdekat.
“Saya yakin pihak parti akan membuat keputusan dan pengumuman yang sesuai dengan keputusan kita selepas perbincangan tersebut diadakan,” katanya lagi.
Ini kali kedua perkara sedemikian berlaku di mana sebelum ini Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) turut memutuskan untuk menyokong kepimpinan Anwar.
Iskandar Dzulkarnain berkata, beliau tidak akan meninggalkan atau mengkhianati Bersatu dalam apa jua keadaan atas prinsip taat dan setia kepada parti. – MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment