Dalam dunia ni memang banyak haiwan yang menarik korang boleh jumpa. Tak kira di udara, darat mahupun laut, semuanya mempunyai keunikan tersendiri yang memukau mata korang. Sebagai contohnya, burung kakak tua yang berwarna-warni, sesumpah yang mampu menyamar dan juga serangga-serangga tau!
Banyak je serangga korang boleh nampak di sekeliling korang seperti pepatung dan juga mentadak. Tapi, sesetengah serangga ni korang dah biasa sangat dengar dan tahu mengenainya. Sebab itulah kali ni, min nak kongsikan pada korang tujuh serangga paling unik dalam dunia yang confirm korang tak tahu pun wujud di sekeliling kita.
1. Kupu-kupu Picasso
Untuk serangga pertama ni, korang jangan confuse sebab ini bukan spesies rama-rama tapi sebenarnya adalah kupu-kupu. Walaupun kecantikannya yang kurang menarik berbanding rama-rama namun, serangga ni termasuk antara spesis yang sungguh unik.
Sebagai pengetahuan, ia merupakan sejenis kupu-kupu yang tergolong dalam keluarga Erebidae dan hanya boleh ditemui di bahagian timur laut India dan Asia Tenggara. Uniknya serangga ni disebabkan corak sayap depannya yang penuh dengan corak-corak geometri yang menonjol.
2. Kumbang Permata berbintik merah
Kalau korang nak tahu kumbang ni bukan sahaja unik dan menarik, malah memainkan peranan yang sangat penting dalam proses-proses semula jadi seperti penguraian dan pendebungaan dalam ekosistem.
Dikenali dengan corak tompok merah dan hitam yang unik, ia juga mempunyai antena bergerigi yang menyerupai seperti sebilah gergaji. Fungsinya adalah untuk membolehkan serangga ini mengesan pelbagai isyarat di sekitarnya seperti feromon dan bau tumbuhan.
3. Rama-rama Claudina
Kalau mengenai rama-rama ni mesti korang dah tahu dengan kecantikan dan warna-warni sayapnya. Tapi, untuk serangga yang berhabitat di hutan hujan ni, ia mempunyai tompok crimson yang cukup terang terletak pada sayap atasnya.
Disebabkan keunikannya yang jarang dijumpai, ia juga tak lari dari diancam kepupusan oleh pelbagai faktor. Harap-harap ada pihak yang menjalankan peranan untuk melindungi spesies ini.
4. Kumbang Biola
Dengar sahaja daripada nama serangga ini, korang dah boleh agak rupa dan keunikan yang ada pada kumbang ni. Kalau korang lihat dari atas, badan kumbang ini seakan-akan mirip seperti sebuah viola ataupun gitar.
Namun, bila lihat dari tepi, ianya mempunyai badan yang leper seperti sehelai kertas sahaja. Menariknya, kumbang yang selalunya berwarna hitam dan coklat ini menetap di kawasan hutan tropika seperti di Malaysia, Indonesia dan Brunei.
5. Belalang Belukar Afrika
Serangga yang ini bukan biasa-biasa kerana saiznya yang agak besar berbanding serangga yang lain. Selain itu, warnanya yang hijau terang juga merupakan salah satu ciri unik belalang ini.
Walaupun dianggap unik, namun serangga ini dikatakan sebagai haiwan perosak di beberapa buah wilayah di dunia ini. Sebabnya, kadang-kala ia memusnahkan tanaman-tanaman hiasan yang terdapat disekelilingnya.
6. Serangga Daun Jawa
Tengok sekilas pandang je mesti korang tak perasan serangga ni. Mana taknya, dengan mempunyai badan yang nipis serta urat-urat yang menyerupai sehelai daun , serangga ni memang tak syak lagi antara yang terunik di dunia.
Selain kebolehan menyamarnya itu, serangga ini juga merupakan haiwan herbivor yang makanannya terdiri daripada tumbuh-tumbuhan sahaja. Jangan risau, bagi yang ingin melihat sendiri serangga ini, ianya juga terdapat dalam hutan-hutan di Malaysia.
7. Kumbang Hijau Papua
Kumbang ini pula mendapat perhatian kerana campuran warna di badannya yang unik dan terang menyebabkan ia kelihatan menonjol dan cantik di antara spesiesnya. Berdasarkan dari namanya, serangga ini sering ditemui di hutan-hutan utama dan juga taman kebun di New Guinea. Serangga ini juga mempunyai saiz yang sangat kecik iaitu sepanjang 0.75 hingga 1.25 inci.
Sumber: India Today NE
credit:Lobak Merah
No comments:
Post a Comment