Penganalisis berkata Umno negeri perlu muncul dengan idea bernas bagi menyaingi ketokohan Ahmad Samsuri Mokhtar.
PETALING JAYA: Penganalisis berpandangan Umno Terengganu perlu memulakan strategi dan tawaran lebih baik untuk kekal relevan selepas kekalahan pada PRK Kemaman.
Hussain Yusri Zawawi dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), berkata antara faktor kekalahan Barisan Nasional (BN) di Parlimen itu disebabkan kepimpinan Umno Terengganu yang lemah dan bersifat konservatif.
“Patut diubah ke arah yang lebih matang dan profesional untuk mendapat perhatian semula rakyat Terengganu. Bukan menumpukan kepada politik peribadi dan hanya melihat kelemahan-kelemahan kerajaan,” katanya kepada FMT.
Pada PRK Kemaman, Ahmad Samsuri Mokhtar terpilih sebagai Ahli Parlimen Kemaman dengan majoriti 37,220 undi, menewaskan Raja Affandi Raja Noor daripada Barisan Nasional (BN).
Samsuri diletakkan di Kemaman selepas Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Che Alias Hamid pada PRU15 kerana didapati berlakunya rasuah, pada September lalu.
Hussain yang juga merupakan Ketua Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa, berkata Umno Terengganu perlu menampilkan idea baik agar dapat dinilai rakyat.
“Umno perlu menonjolkan kepimpinan yang lebih profesional dan mempunyai idea-idea yang baru dan bernas setanding dengan Samsuri jika mahukan menguasai semua Terengganu,” katanya.
Dalam pada itu, Hussain berkata kejayaan besar PAS juga berkait faktor kepimpinan Samsuri yang dilihat sebagai tokoh profesional.
“Penampilan sederhana dan tidak menyerang secara peribadi dalam kempen pilihan raya serta menguruskan negeri secara profesional dengan kepimpinan pusat walaupun berbeda politik menjadikan beliau dipandang tinggi rakyat,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis Keselamatan dan Politik Noor, Nirwandy Mat Noordin berkata PAS masih lagi mempunyai kekuatan akar umbi selain sokongan pengundi Melayu di Terengganu.
Beliau berkata, faktor calon juga menjadikan PAS kekal popular.-FMT
No comments:
Post a Comment