Cubaan takutkan pengundi bukan-Melayu oleh Hannah Yeoh
DARIPADA enam negeri yang melangsungkan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini, Selangor adalah negeri terpenting untuk diperhatikan.
Laporan Sosioekonomi Negeri 2022 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) kelmarin menunjukkan Selangor antara negeri termaju di Malaysia dengan pendapatan isi rumah kasar bulanan penengah RM9,983, tertinggi antara semua negeri, dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 11.9 peratus, kedua tertinggi selepas Pulau Pinang. Rizab Kerajaan Selangor pada 31 Oktober 2022 juga sangat tinggi, iaitu sebanyak RM3,354.45 juta.
Pemimpin PH-BN cukup yakin akan mempertahankan Selangor. Andaian yang dibuat ialah bila PH dan BN bergabung maka akan berlaku pemindahan undi secara penuh (full vote transferability) antara pengundi kedua-duanya.
Bagaimanapun, kajian Datuk Dr Marzuki Mohamed dan Khairul Syakirin Zulkifli ke atas 1,200 orang responden di 39 kawasan DUN majoriti Melayu di Selangor pada 1 Mac – 20 April menunjukkan ini tidak berlaku kerana elemen penolakan kepada kerjasama PH-BN.
Secara khususnya, dalam kalangan pengundi Melayu BN, 39 peratus telah menyatakan akan mengundi PN dan hanya 15 peratus akan mengundi PH manakala baki 49 peratus lagi masih tidak pasti. Dengan kira-kira 60 peratus pengundi tidak pasti ini akan mengundi PN, dijangkakan kira-kira 67 peratus pengundi Melayu BN akan mengundi PN dalam PRN ini memungkinkan PN untuk menang di Selangor.
Menghadapi PRN Selangor, PN meletakkan negeri itu di bawah dominasi BERSATU dengan 31 kerusi, diikuti oleh 17 PAS dan 8 GERAKAN. Walaupun begitu, PN tidak mengumumkan siapa calon Menteri Besar jika ia menang berbanding PH yang mengumumkan akan mengekalkan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar jika ia menang.
Bagaimanapun, PN mempunyai beberapa nama besar yang boleh ditonjolkan. Di pihak BERSATU ada Menteri Besar merangkap bekas Menteri Kanan, Datuk Seri Mohd Azmin Ali, bekas Menteri, Datuk Seri Rina Mohd Harun, bekas EXCO Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari, dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Jamil Salleh.
Di pihak PAS pula, ada juga beberapa nama besar seperti bekas Rektor Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dan bekas Profesor di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Ab Halim Tamuri, dan tiga bekas Exco Selangor, iaitu Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi, Sallehin Mukhyi dan Zaidy Abdul Talib.
Ada tanda PN menghadapi masalah dari sudut sesetengah calon yang dinamakan, khasnya dari BERSATU yang menyebabkan Dr Mohd Faiz Na’aman keluar dari parti itu kelmarin tetapi PH-BN juga mempunyai masalahnya yang tersendiri dalam hal ini.
Di Selangor, elemen penolakan kepada Umno di bawah kepimpinan Zahid masih kuat. Tan Sri Noh Omar walaupun tidak bertanding tetapi berkempen untuk memenangkan anaknya yang menjadi calon BERSATU. Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, walaupun tidak menyertai PN tetapi berkempen menyokong calon PN. Ada calon BERSATU yang datang dari Umno seperti Timbalan Ketua Umno Bahagian Sungai Buloh, Datuk Harrison Hassan.
Satu kelemahan ketara PN ialah ia hanya kuat di kalangan penyokong Melayu tetapi tidak kuat di kalangan penyokong bukan-Melayu. Calon bukan-Melayu dari kalangan GERAKAN atau BERSATU tidak dikenali ramai. Walaupun begitu, ada kecenderungan untuk PN mendapat undi bukan-Melayu dari kalangan penyokong MCA dan MIC yang tidak berpuas hati kerana parti mereka tidak diberi layanan yang adil dalam Kerajaan Perpaduan serta tidak diberi kerusi untuk bertanding dalam PRN.
Begitu juga ada tanda menunjukkan ramai pengundi bukan-Melayu tidak berpuas hati dengan kerjasama PH dan BN serta dengan prestasi Kerajaan Perpaduan serta menyatakan mereka sama ada akan memboikot PRN ini atau mengundi protes.
Tular dalam media sosial kenyataan pengundi bukan-Melayu seperti Michael Sah dan Priscilla Chan yang meluahkan kemarahan mereka dengan berkata mereka tidak lagi akan mengundi PH dalam PRN ini untuk memberi pengajaran kepada PH kerana memanipulasi undi mereka dalam PRU15 untuk melakukan perkara yang bertentangan dengan janji PH, berpakat dengan Umno, tidak melakukan reformasi dan sebagainya.
Penularan ancaman ini dipandang berat oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang menyeru pengundi bukan-Melayu di Selangor supaya tidak menghukum PH kerana mereka sebenarnya menghukum diri mereka dan anak cucu mereka jika akibat daripada perbuatan mereka itu maka Menteri Besar dari PKR akan berganti dengan Menteri Besar dari PAS dalam PRN ini.
Bagi penyokong PN, ini menunjukkan PH terdesak untuk mempertahankan Selangor dengan menakut-nakutkan kaum bukan-Melayu kepada PAS sedangkan, kata mereka, wakil-wakil rakyat PAS telah mempunyai pengalaman memerintah Selangor dari 2008 ke tahun 2018. Tidak ada apa-apa dasar ekstrem yang diperkenalkan oleh mereka waktu itu, tambahan pula sekarang ini kewujudan BERSATU dan GERAKAN dalam PN sebagai pengimbang kepada PAS.
Dalam PRU 15 pada 2022, PN tanpa disangka menunjukkan prestasi baik dengan merampas 6 daripada 22 kerusi Parlimen yang memiliki majoriti pengundi Melayu. Tanda-tanda menunjukkan gelombang hijau masih berterusan, dibantu oleh kekuatan media sosial PN.
Ini ditambah pula oleh kekuatan manifesto yang ditawarkan oleh PN untuk Selangor yang menawarkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor bernilai RM2 bilion untuk merancakkan ekonomi Selangor dan memberi pelbagai manfaat bantuan kepada rakyatnya.
Dengan kelicinan jentera PN, jika PH-BN tidak berjaga-jaga mungkin ia boleh kehilangan Selangor di saat pemimpin tertingginya lebih tertumpu kepada merebut negeri PN. Dan jika Selangor tumbang kesannya besar kepada kedudukan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.
DR MOHD FUAD MOHD SALLEH
Ketua Pegawai Eksekutif
Yayasan Strategik Lestari, Cyberjaya
Mantan Dekan Fakulti Perniagaan & Perakaunan, Universiti Selangor (UNISEL) – HARAKAHDAILY 9/8/2023
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.
No comments:
Post a Comment