Datuk Lokman Adam dibawa calon Pakatan Harapan (PH), Juwairiya Zulkifli untuk membantunya dalam kempen ceramah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang.
Juwairiya yang dianggap calon luar diletak PH untuk bertanding di Hulu Kelang, malah sambutan penduduk terhadapnya agak kurang mendapat sambutan dan Lokman malam tadi dibawa untuk berceramah bersama-samanya.
Dalam tinjauan Agenda Daily semasa program Juwairiya semasa di ceramah berkelompok secara kecil-kecilan mendapati penduduk setempat tidak memberi sambutan yang menggalakkan berbanding sambutan diberikan kepada Datuk Seri Azmin Ali yang dianggap anak tempatan di kawasan tersebut.
Untuk rekod, Juwairiya sebelum ini bertanding di Bukit Melawati tetapi kali ini diletak sebagai calon DUN Hulu Kelang untuk melawan bekas Menteri Besar Selangor itu.
Malah, penduduk tempatan semasa menghadiri program ceramah berkelompok memberi cadangan kepada Juwairiya untuk mencari jalan membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim turun ke Hulu Kelang bagi menunaikan solat dan pada masa sama membantu kempennya di Hulu Kelang.
Lokman turun ke Hulu Kelang malam tadi sepentas untuk menyampaikan ceramah bersama dua lagi penceramah PH untuk membantu Juwairiya.
Untuk rekod, Lokman sebelum ini semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu antara yang paling lantang membidas Anwar dan PH, malah dalam ceramahnya banyak membuat pendedahan berhubung aktiviti luar tabii pemimpin utama PH itu.
Bagaimanapun, berbeza dengan pihak lawan lain yang sering mengkritik berhubung aktiviti luar tabii, Lokman tidak pernah disaman Anwar sehingga hari ini.
Malah, Anwar melantik Lokman menjadi Ketua Pengarah Media kerajaan campuran yang menggepalai tentera siber dalam melawan Perikatan Nasional (PN).
Jika sebelum ini Lokman sering membidas PH dan Anwar, senario berbeza sebaliknya kini berlaku apabila berada sepentas dengan PH dengan serangan dihalakan banyak terhadap Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Semasa ceramah di Taman Melawati bersama Juwairiya malam tadi, Lokman juga membidas Azmin yang bertanding di DUN Hulu Kelang dengan pelbagai tuduhan dan kecaman.
Malah, Lokman juga dilihat sudah tidak bersuara dalam memperjuangkan nasib Datuk Seri Najib Razak sejak diberikan jawatan dalam kerajaan campuran PH-UMNO ketika ini.
Walhal, Lokman antara individu yang lantang dalam bercakap berhubung ketakadilan terhadap Najib yang kini sedang menjalani hukuman penjara.
Kerusi DUN Hulu Kelang sebelum ini disandang wakil daripada Parti Amanah, Saari Sungib tetapi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini kerusi tersebut ditandingi PKR.
Sepatutnya kerusi DUN Hulu Kelang ditandingi wakil Parti Amanah dan dikatakan pada awalnya anak Saari, Anfaal yang juga Naib Ketua Wanita Amanah bertanding di situ bagi menggantikan tempat bapanya.
Bagaimanapun pada saat akhir, PH mengumumkan kerusi DUN Hulu Kelang akan ditandingi Juwairiya yang bukan berasal di situ dan dianggap bukan calon anak tempatan.
Kerusi DUN Hulu Kelang menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara Azmin (PN) dan Juwairiya (PH).
-Agenda Daily
No comments:
Post a Comment