Georgetown: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan terdapat satu kes berprofil tinggi membabitkan pemimpin politik yang dikenal pasti menyentuh isu kaum, agama dan institusi raja (3R) ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ia membabitkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikenal pasti menyentuh kes mahkamah membabitkan penggunaan kalimah Allah.
Beliau berkata, bekas Perdana Menteri itu dikenal pasti membuat kenyataan berkenaan di Kapar, Klang, biarpun Sultan Selangor sebelum ini sudah menitahkan supaya isu terbabit tidak dibahaskan sehingga ia dibincangkan pada mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR).
Bagaimanapun katanya, Muhyiddin dilihat ingkar kepada titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).
"Berulang kali peringatan diberikan sebelum pilihan raya, sama ada daripada institusi diraja atau Ketua Polis Negara supaya mana-mana pihak tidak terjerumus dalam perkara membabitkan 3R kerana kesan buruknya terlalu besar kepada rakyat.
"Rakyat boleh nilai sendiri. Kalaulah nasihat baginda pun tak boleh nak patuh, nasihat siapa lagi (mahu dipatuhi)? Masyarakat Melayu ada adab dan kesopanan, terutama membabitkan institusi diraja," katanya pada sidang media Majlis Makan Malam Amal bersama Pemimpin anjuran Pertubuhan Kebajikan Kebudayaan dan Sosial Kaum India Pulau Pinang di sini, malam tadi.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor bersetuju dengan cadangan Sultan Selangor untuk membawa isu kalimah Allah kepada MKI pada Ogos ini, sebelum diangkat ke MRR, Oktober depan.
Sultan Selangor percaya pandangan MKI penting untuk dimajukan kepada MRR dalam menetapkan dasar muktamad berhubung penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam di Malaysia.
-myMetro
No comments:
Post a Comment