Pertuduhan itu ‘tidak berasas’ susulan keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan daripada kesalahan predikat, kata bekas perdana menteri itu.
KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin memfailkan permohonan untuk mengetepikan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan kira-kira RM200 juta yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa dilaksanakan oleh pentadbirannya.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga mahu Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskannya (DNAA) daripada pertuduhan itu.
Permohonan yang difailkan oleh peguam cara Tetuan Chetan Jethwani & Company itu pada Isnin, dibuat di bawah Seksyen 173(g) Kanun Tatacara Jenayah.
Ia mendakwa bahawa ketiga-tiga pertuduhan itu kini “tidak berasas”.
Ia membabitkan dua pertuduhan memperoleh RM195 juta daripada Bukhary Equity, didakwa hasil aktiviti haram, yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Bersatu.
Muhyiddin didakwa melakukan kesalahan itu di Menara CIMB KL Sentral di Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Feb dan 16 Julai 2021, dan antara 8 Feb dan 8 Julai 2022.
Pada 13 Mac, beliau turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan menerima RM5 juta daripada aktiviti haram.
Kes itu telah dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk perbicaraan bersama.
Dalam afidavitnya menyokong permohonan itu, Muhyiddin berkata Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Ogos lepas melepas dan membebaskannya daripada kesalahan predikat salah guna kuasa di bawah seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Pertuduhan itu berkaitan berkaitan dakwaan menyalahgunakan kuasanya untuk mendapatkan RM232.5 juta bagi Bersatu antara 8 Feb dan 20 Ogos 2021.
Pada 15 Ogos, Hakim Jamil Hussin berkata pertuduhan itu tidak mendedahkan dengan jelas sebarang kesalahan yang diketahui undang-undang dan tidak cukup jelas untuk membolehkan Muhyiddin, presiden Bersatu, menyediakan pembelaannya.
Dalam mesej pesanan ringkas kepada FMT, Chetan berkata salinan permohonan itu telah diserahkan kepada pihak pendakwaan pada Isnin.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shahruddin Wan Ladin memberitahu FMT, pihak pendakwaan telah menulis surat kepada Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi untuk memohon menangguhkan perbicaraan pertuduhan pengubahan wang haram sementara menunggu keputusan keputusan Mahkamah Rayuan didengar terlebih dahulu pada 29 Nov.
Beliau berkata Mahkamah Sesyen kemudiannya boleh mendengar permohonan Muhyidin untuk mengetepikan pertuduhan pengubahan wang haram.
“Permohonan penangguhan kami akan menjadi akademik sekiranya permohonan untuk mengetepikan pertuduhan pengubahan wang haram didengar terlebih dahulu dan diputuskan,” katanya.-FMT
No comments:
Post a Comment