Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 86)
WAKIL dari beberapa wilayah yang jauh datang menemui Umar bin Abdul Aziz. Beliau tiba di pintu Umar pada waktu malam. Beliau mengetuk pintu. Pengawal keluar. Wakil itu berkata: Beritahu Amir al-Mukminin bahawa ada utusan dari si fulan pegawainya di pintu. Pengawal masuk, lalu memberitahu Umar RA.
Umar mahu tidur sebenarnya, lalu duduk dan berkata: Izinkan kepadanya. Wakil itu masuk. Umar minta dibawakan lilin dengan batangnya yang tebal. Dinyalakan api. Wakil itu duduk. Umar juga duduk.
Umar bertanyakan mengenai keadaan penduduk negeri, orang Islam, kafir zimmi, tindak-tanduk pegawai, harga barang, anak-anak Muhajirin dan Ansar, perantau, orang fakir, adakah setiap orang mendapat haknya, ada sesiapa mengadu mengenai pegawainya dan adakah pegawai itu menzalimi orang lain?
Wakil itu memberitahu Umar semua perkara yang diketahuinya mengenai wilayah itu tanpa disembunyikan apa-apa. Setiap yang ditanya akan dijawab, hingga Umar selesai dari soalannya. Wakil itu berkata: Wahai Amir al-Mukminin! Bagaimana keadaan kamu dan tubuhmu? Bagaimana keluargamu, penjaga gedung perbendaharaanmu dan orang yang kamu ambil berat mengenainya?
Umar meniup lilin. Ia padam dengan sekali tiup sahaja. Umar berkata: Wahai budak penjaga! Bawakan aku pelita.
Pelita yang hampir tidak bercahaya dibawa kepada Umar. Umar berkata: Tanyalah tentang apa yang engkau suka.
Wakil itu bertanya tentang keadaan diri Umar. Umar menceritakan keadaan dirinya, anak, isteri dan ahli keluarga. Wakil itu rasa pelik kerana lilin yang dipadam tadi. Beliau bertanya: Wahai Amir al-Mukminin! Aku lihat engkau buat satu perkara yang tak pernah aku lihat engkau lakukan sebelum ini.
Umar bertanya: Apa dia?
Wakil itu menjawab: Engkau padamkan lilin apabila aku bertanyakan kepadamu mengenai keadaan dirimu dan urusanmu.
Umar menjawab:
يا عبد الله ، إن الشمعة التي رأيتني أطفأتها من مال الله ومال المسلمين ، وكنت أسألك عن حوائجهم وأمرهم ، فكانت تلك الشمعة توقد بين يدي فيما يصلحهم وهي لهم ، فلما صرت لشأني وأمر عيالي ونفسي أطفأت نار المسلمين .
‘Wahai hamba Allah! Lilin yang engkau lihat aku padamkan itu dari harta Allah dan harta orang Islam. Aku bertanya kepadamu mengenai keperluan mereka dan urusan mereka. Maka lilin itu dinyalakan di depanku berkaitan urusan rakyat, dan lilin itu untuk mereka. Apabila engkau tanya tentang diriku dan urusan keluargaku, aku padamkan lilin milik orang Islam. (Sirah Umar bin Abdul Aziz, Ibn Abdul Hakam ms155-156.)
Sekali lagi kita dapat mengikuti kisah mengenai Umar bin Abdul Aziz dan sebatang lilin, seperti kisah sebelum ini. Sekali lagi saya ingatkan para pembaca bahawa isunya bukan sebatang lilin, tetapi kisah integriti, sensitiviti yang sangat hebat, datang dari seorang yang sangat hebat, bukannya berlagak hebat tetapi kosong sebenarnya dari inti yang baik.
Umar bin Abdul Aziz mempunyai pegawai-pegawai di wilayah yang jauh. Bentuk pentadbiran ini sudah menjadi kebiasaan di zaman kita. Seorang Menteri Besar atau Perdana Menteri tidak mampu menguruskan segala-galanya secara bersendirian. Yang penting dari kisah Umar di atas ialah beliau mengambil tahu, bertanya khabar mengenai semua pihak dan urusan di bawah jajahan takluk pemerintahannya- mengenai tindak-tanduk pegawai hinggalah penduduk non-Muslim dalam negara itu.
Apabila melibatkan urusan peribadi, Umar segera menukarkan lilin berbatang besar dengan pelita yang hampir tidak bernyala. Ya, ia hanya sebatang lilin. Berapalah sangat nilai sebatang lilin dan kos yang digunakan oleh Umar untuk bercakap dengan wakil itu mengenai hal peribadi dan keluarganya. Namun, tahap taqwa Umar sangat tinggi. Sensitivitinya mengenai mana satu harta kerajaan dan mana satu harta peribadi sangat tinggi. Umar tidak tergamak menggunakan hanya sebatang lilin untuk urusan peribadinya kerana ia milik ummah.
Dalam konteks pentadbiran kini, agak mustahil mahu meniru apa yang Umar bin Abdul Aziz lakukan. Ia berkaitan taqwa yang berbeza, uruf dan kebiasaan yang berubah dan pelbagai faktor dalaman dan luaran. Namun, apa yang penting ialah tahap kesedaran di kalangan pemerintah, pegawai, pentadbir di pelbagai sektor dan peringkat mengenai mana satu harta negara dan mana satu harta peribadi. Apa yang boleh dibuat terhadap harta kerajaan dan apa yang boleh dibuat terhadap harta sendiri.
Bolehkah anda bayangkan jika Umar bin Abdul Aziz ada di zaman kita? – HARAKAHDAILY 4/10/2023
Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.
No comments:
Post a Comment