
SANA’A, Yaman: Tiga kapal komersial diserang di perairan antarabangsa di selatan Laut Merah, ketika kumpulan pejuang Houthi Yaman menegaskan serangan dron dan peluru berpandu ke atas dua kapal Israel di kawasan itu.
Tentera Amerika Syarikat dalam kenyataannya pada Ahad (3 Dis) berkata, kapal pemusnahnya, carney menjawab panggilan kecemasan dan memberikan bantuan berikutan pelancaran peluru berpandu dan dron dari wilayah yang dikuasai Houthi.
Sementara, Pergerakan Houthi Yaman berkata, tentera lautnya telah menyerang dua kapal Israel, Unity Explorer dan Number 9, dengan dron bersenjata dan peluru berpandu tentera lautnya.
Jurucakap tentera kumpulan itu berkata, kedua-dua kapal itu menjadi sasaran selepas mereka menolak amaran, tanpa mengulas lanjut, lapor AFP.
Dalam satu kenyataan, jurucakap itu berkata serangan tersebut adalah sebagai tindak balas kepada tuntutan rakyat Yaman dan seruan daripada negara-negara Islam untuk berdiri bersama memperjuang nasib rakyat Palestin yang kini dibunuh secara beramai-ramai di Gaza oleh serangan tentera Israel.
Tentera AS pula mendakwa, Carney telah menembak jatuh tiga dron kerana ia membantu kapal komersial yang melalui Laut Merah, namun tidak jelas sama ada kapal perang itu menjadi sasaran.
Ia berkata serangan itu adalah ancaman kepada perdagangan antarabangsa.
“Kami juga mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa serangan ini, semasa dilancarkan oleh Houthi di Yaman, telah disokong sepenuhnya oleh Iran,” kata kenyataan itu.
“Amerika Syarikat akan mempertimbangkan semua tindak balas yang sesuai dengan penyelarasan penuh dengan sekutu dan rakan antarabangsanya,” tambah kenyataan itu.
Jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari pula mendakwa bahawa kedua-dua kapal itu tidak mempunyai kaitan dengan Israel.
“Satu kapal telah rosak teruk dan ia nampaknya akan karam; dan sebuah lagi kapal mengalami kerosakan kecil ringan,” kata Hagari kepada pemberita di Tel Aviv.
Insiden yang dilaporkan berikutan siri serangan di perairan Timur Tengah sejak perang meletus antara Israel dan kumpulan pejuang Palestin Hamas pada 7 Okt.
Sebuah kapal kargo berkaitan Israel telah dirampas pada Nov oleh Houthi, yang mengawal sebahagian besar pantai Laut Merah Yaman, dan sebelum ini telah menembak peluru berpandu balistik dan dron bersenjata ke Israel dan berikrar untuk menyasarkan lebih banyak kapal Israel demi perjuangan menyokong Palestin. – HARAKAHDAILY 4/12/2023
No comments:
Post a Comment